Memilih untuk memulakan hidup baharu di Australia, bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada, mengakui kehidupannya kini semakin baik walaupun berjauhan dari tanah air.
Menurut Shuhada, 30, dia pernah mempersoalkan nasib dirinya yang diuji dengan pelbagai masalah hidup, termasuk perceraian.
“Dulu saya memang terfikir, kenapa Allah berikan saya ujian sebegini, apa salah saya. Tetapi saya bersangka baik dengan Allah, dan Dia gantikan saya dengan sesuatu yang lebih baik.
“Jika dulu hidup saya susah, tetapi sekarang Allah memberikan kualiti hidup yang lebih baik. Allah izinkan saya berada di sini bersama kedua-dua anak saya. Saya bukan hendak berlagak, tetapi saya mahu kalian semua percaya, Allah tidak akan membebankan kita dengan sesuatu yang kita tak mampu tanggung,” katanya dalam satu siaran langsung di TikTok.
Shuhada juga menegaskan bahawa kehidupan baharu yang lebih baik ini tidak bermakna dia sedang menjalin hubungan cinta dengan mana-mana lelaki.
“Bila saya katakan Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik, itu bukan bermaksud menggantikan lelaki yang lebih baik. Tidak, saya di sini tiada sesiapa dan tidak bercinta dengan mana-mana lelaki. Setiap kita ada ujian masing-masing. Saya bukan orang yang sempurna dan tak lari daripada buat dosa, tetapi paling penting adalah meletakkan Allah sebagai yang utama, insya-Allah,” tambahnya.
Pada awal Ogos lalu, Shuhada memaklumkan bahawa dia telah berhijrah ke Australia bersama dua anaknya, Humairah (6) dan Umar (2), dan kini menetap di Melbourne bagi meneruskan pengajian.
Dia juga tidak merancang untuk pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.
Sumber: KOSMO! ONLINE