Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billal Shah, telah menarik perhatian warganet apabila bertindak memadam hampir kesemua foto dan video di akaun Instagramnya, menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Hasil tinjauan BOOM! di laman Instagram mendapati, baginda hanya meninggalkan satu foto yang dimuat naik pada 8 Januari lalu, dengan kapsyen terbaru yang diubah.
“Bersedia apabila dipanggil untuk bertugas,” tulisnya.
Sebelum ini, spekulasi mengenai perkahwinan baginda turut tular, namun Tengku Hassanal telah memberikan penjelasan menerusi Instagram, meminta orang ramai menghormati keputusan peribadinya dan menegaskan bahawa tiada perkahwinan yang akan berlangsung dalam masa terdekat.
Baginda kini sedang memberi tumpuan sepenuhnya untuk berkhidmat kepada Raja dan Negara.
Tengku Hassanal turut meminta agar pihak yang terlibat menghentikan gangguan dan spekulasi berkaitan perkara tersebut.
Sebagai maklumat tambahan, Tengku Hassanal dilahirkan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, dan kini memegang gelaran sebagai Tengku Mahkota serta Pemangku Raja Pahang. – BOOM!