Kumpulan popular K-pop, NewJeans, mengadakan sidang media tergempar di Samseong-dong, Seoul, malam tadi (28 November) untuk mengumumkan keputusan menamatkan kontrak eksklusif mereka dengan ADOR dan HYBE. Sidang media yang berlangsung jam 8:30 malam itu dihadiri kelima-lima ahli kumpulan iaitu Minji, Hanni, Danielle, Haerin, dan Hyein, yang menjelaskan situasi dan rancangan masa depan mereka.
NewJeans mengesahkan kontrak mereka bersama ADOR dan HYBE akan berakhir secara rasmi pada tengah malam 29 November. Mereka mendakwa keputusan itu dibuat selepas berlaku pelanggaran kontrak oleh pihak agensi, termasuk kegagalan mematuhi syarat dalam surat pemberitahuan bertarikh 13 November. Surat tersebut turut menuntut pemulangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif ADOR, Min Hee Jin.
Menurut kumpulan itu, tiada persetujuan bersama diperlukan untuk penamatan kontrak kerana pelanggaran syarat kontrak oleh pihak agensi.
“Kami tidak melanggar kontrak dan telah menjalankan aktiviti kami dengan sepenuh komitmen. Situasi ini berlaku kerana ADOR dan HYBE yang melanggar perjanjian. Mereka perlu bertanggungjawab,” jelas NewJeans.
Sebagai respons, ADOR menafikan dakwaan pelanggaran kontrak.
“Hanya mendakwa kepercayaan telah hilang tidak mencukupi untuk menamatkan perjanjian. Kontrak eksklusif ini masih sah,” menurut kenyataan rasmi mereka.
NewJeans menyatakan bahawa penamatan kontrak ini tidak akan menghalang aktiviti mereka.
“Kami boleh teruskan aktiviti seperti biasa tanpa sebarang halangan,” ujar kumpulan itu, sambil memberi bayangan tentang perjalanan mereka bersama Min Hee Jin di masa hadapan.
Situasi ini pastinya akan terus diperhatikan oleh peminat dan pemerhati industri, dengan ramai yang menanti langkah seterusnya daripada kumpulan fenomena ini.
Sumber: AllKPop