Aktif membawakan watak komedi, Zalif Sidek belum bersedia mengundurkan diri sebagai pelakon biarpun kelibatnya makin kurang muncul di kaca televisyen.
Menurut jejaka berusia 36 tahun itu, biarpun kerjaya hakikinya lebih banyak tertumpu tugas di belakang tabir, dia tetap akan berlakon.
“Alhamdulillah, nama Zalif Sidek masih relevan dalam industri seni tempatan sebagai pelakon. Bahkan, saya juga ada menerima tawaran untuk menjadi hos.
“Walaupun menyandang jawatan sebagai pegawai perhubungan awam (PRO), namun ia tidak menghalang aktiviti seni saya.
“Setakat ini, saya tidak berhadapan masalah membahagikan masa untuk melakukan dua kerja dalam satu-satu masa.
“Sebenarnya, kedua-dua kerjaya ini saling berkait rapat dengan industri seni.
“Jadi, mudah untuk saya menyusun jadual kerja supaya tidak bertindih antara satu sama lain,” jelasnya kepada Boom!.
Zalif atau Md. Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek itu memaklumkan, dia kini berkhidmat dengan sebuah syarikat penerbitan tempatan yang menerbitkan pelbagai konten video.
Justeru, disebabkan skop kerjaya tetapnya juga berkisar tentang bidang seni, Zalif
belum terfikir untuk bersara.
“Selagi khidmat saya dalam kedua-dua bidang ini ditagih dan diperlukan, saya akan terus berkhidmat,” katanya menetapkan matlamat.
Pernah bertugas di KRU Studios, Zalif bersyukur rezekinya sebagai anak seni masih utuh bertahan hingga kini.
“Insya-Allah, satu hari nanti jika ada rezeki, saya bercadang untuk tubuhkan syarikat produksi milik sendiri,” tambah Zalif teruja.