Dijangka bersalin pada Februari ini, pelantun lagu Boneka, Ernie Zakri kini sedang mencari penggantinya untuk mempersembahkan karya ciptaan Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat itu di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-36 (AJL 36) kelak.
Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 29, ketika ditemui berkata, mustahil baginya untuk terlibat dalam penganjuran AJL 36 kali ini memandangkan keadaannya yang sedang sarat mengandung.
“Buat masa ini pihak produksi AJL belum memaklumkan tarikh sebenar acara tersebut sama ada pada Februari ataupun Mac.
“Jika Februari, insya-Allah saya bakal melahirkan bayi ini dan kalau Mac pula, itu masanya tempoh berpantang.
“Jadi amat mustahil untuk saya berada di atas pentas menyanyikan Boneka,” terangnya.
Pada masa sama, Ernie menjelaskan, pihak pengurusan dan syarikat rakamannya, Rocket Fuel Entertainment sedang membincangkan untuk mencari penyanyi ganti yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab menyampaikan lagu tersebut.
Bukan itu saja, menurut isteri kepada Syamel Aqmal itu, pendapat barisan komposer juga diperlukan dalam menentukan gerangan individu yang layak.
“Saya harus menghormati ketiga-tiga komposer berkenaan kerana lagu ini milik mereka.
“Di pihak saya dan pengurusan, kami sedang menantikan hasil perbincangan mereka bertiga sebelum membuat keputusan.
“Doakanlah agar proses pencarian ini berjalan lancar dan berhasil,” pintanya.
Untuk rekod, Ernie dan Syamel mendirikan rumah tangga pada Mac 2021 dan bakal menyambut kelahiran cahaya mata pertama yang dijangka bayi perempuan pada Februari ini. – BOOM!