Pelakon dan pengarah, Ahmad Ibrahim atau Mat London, 74, menghembuskan nafas terakhir akibat pelbagai komplikasi penyakit di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 5.57 pagi tadi.
Berita duka itu dikongsi anaknya, Salmany Akir Ahmad menerusi Facebok.
“Sesudah laungan azan subuh… Papa menghembuskan nafas terakhir di hening pagi yang masih sepi di pagi Jumaat,” tulisnya.
Difahamkan jenazah arwah akan dibawa ke Masjid Taman Melawati, pagi ini dan
dijangka dikebumikan selepas solat Jumaat.
Terdahulu, arwah dirawat di ICU, HKL sejak 16 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru dan berada dalam keadaan kritikal.
Allahyarham juga terpaksa ditidurkan kerana keadaan paru-paru dan jantungnya sangat lemah.
Pengarah filem veteran itu juga mengalami pelbagai komplikasi penyakit lain yang turut menjejaskan kesihatannya.
Selain jangkitan paru-paru dan keupayaan jantung untuk mengepam darah sangat lemah, Allahyarham juga mengalami masalah buah pinggang. – BOOM!