Pelakon yang semakin meningkat naik, Iman Zulkarnain, 31, mengakui ada menerima banyak tawaran untuk watak utama, namun sudah lima kali namanya ditolak oleh stesen televisyen.
Dia yang mula dikenali menerusi drama popular Nur berasa hairan mengapa namanya sering ditolak stesen televisyen berkenaan biarpun sering mendapat peluang untuk melakonkan watak utama daripada produksi ternama.
“Syarikat produksi berkenaan telah cuba sedaya upaya untuk mencadangkan nama saya kepada stesen berkenaan, namun masih ditolak.
“Saya juga tak pasti apa salah dan kekurangan saya. Mungkin bilangan pengikut di akaun media sosial saya tidak setinggi pelakon lain. Atau mungkin juga nama saya masih belum dikenali,” katanya.
Tambah pelakon yang berstatus duda ini, dia menyerahkan soal rezeki kepada Allah dan percaya pasti akan diterima untuk membawakan watak utama dalam drama di stesen televisyen berkenaan.
Bapa kepada tiga orang anak ini juga bersyukur kerana drama lakonannya sebagai watak utama berjudul Alamak Lagi Lagi Dia bergandingan bersama Wafariena bakal disiarkan tidak lama lagi di TV Okey
Sebelum ini, Iman telah menjayakan telemovie Jeman yang disiarkan di Awesome TV pada Aidilfitri lalu membawakan watak utama sebagai penghidap autism.
Iman juga pernah terlibat dengan drama Adellea Sofea dan Cik Ayu Mee Sanggul. BOOM!