Berjaya memikat hati peminat menerusi single Cinta Sampai Mati, pemuda berasal Jawa Barat, Indonesia, Raffa Affar tampil dengan lagu saduran yang pernah popular di era 90-an iaitu Tiara, nyanyian asal kumpulan Kris.
Lagu ciptaan Datuk M Nasir tersebut menjadi pilihan Raffa kerana melodinya yang malar segar dan mempunyai peminat tersendiri di Indonesia.
“Lagu ini dekat dalam hati saya dan saya rasa bahagia apabila dapat menyanyikan lagu ini,” jelas Raffa yang kini mempunyai empat juta pengikut di TikTok.
Tiara yang dahulunya adalah lagu berentak slow rock, telah dibawakan oleh Raffa dengan cara dan gayanya sendiri.
Hayat Kreatif Studio yang bertanggungjawab dalam pengedaran dan promosi lagu nyanyian Raffa di Malaysia menerusi kenyataan media dikeluarkan berasa yakin dengan pemilihan lagu tersebut.
“Rupanya tanpa disedari, pengaruh lagu-lagu malar segar daripada pencipta-pencipta di negara ini telah pergi jauh sehingga ke negeri-negeri seberang,” jelas Pengarah Urusannya, Aidilhayat Omar.
Karya itu merupakan single kedua hasil kolaborasi antara Hayat Kreatif Studio dengan Botram Media Entertainment, manakala hak ciptanya adalah di bawah Luncai Emas.
Tiara boleh didapati di semua pelantar streaming dan video muziknya telah pun di muat naik di saluran YouTube Hayat Kreatif Studio untuk tontonan ramai. – BOOM!