Lagu ‘Diam’, yang menjadi runut bunyi utama bagi drama popular My Famous Ex-Boyfriend, mencipta sejarah apabila berjaya meraih anugerah Best Theme Song or Title Theme (Malaysia) di Asian Academy Creative Awards 2024.
Pengumuman kemenangan ini dilakukan hujung minggu lalu, menandakan kejayaan besar buat karya ciptaan Hael Husaini bersama Iqie Hugh.
Asian Academy Creative Awards merupakan platform yang mengiktiraf karya kreatif terbaik dari seluruh Asia dalam pelbagai kategori, termasuk drama, filem, dokumentari, dan muzik tema.
Kemenangan lagu ‘Diam’ ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, tetapi juga membuktikan kualiti tinggi karya seni tempatan yang mampu bersaing di pentas global.
Hael Husaini, selaku komposer, tidak menyangka lagu ciptaannya akan berjaya di peringkat serantau.
“Saya benar-benar tidak menyangka bahawa lagu ‘Diam’ akan terpilih dan memenangi anugerah ini. Saya sangat bersyukur kerana hasil kerja keras saya bersama Iqie Hugh diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kemenangan ini bukan sahaja untuk kami, tetapi juga untuk seluruh pasukan yang terlibat dalam penghasilan lagu ini,” ujarnya.
Lagu ‘Diam’, yang juga sebahagian daripada album sulung Hael Husaini bertajuk ‘Antonim Part I’, kini telah melebihi 2.1 juta tontonan di YouTube, mencerminkan populariti serta impak besarnya kepada peminat.
Selain itu, seorang lagi artis naungan Rocketfuel Entertainment, Aiman Ameer, turut meraih kejayaan di Asian Academy Creative Awards 2024.
Aiman memenangi anugerah Best Infotainment Programme menerusi program popular Jejak Tular di mana beliau bertindak sebagai pengacara bersama selebriti Haiqal.
Program yang mengetengahkan isu-isu viral dalam masyarakat ini berjaya memikat hati juri dengan pendekatan kreatif serta penyampaian yang segar dan dinamik.
“Saya sangat gembira dan tidak menyangka rezeki berpihak kepada saya serta seluruh pasukan Jejak Tular. Kami bekerja keras untuk memberikan yang terbaik kepada penonton, dan kemenangan ini adalah bukti usaha gigih kami,” katanya.
Kejayaan dua artis Rocketfuel Entertainment ini menunjukkan komitmen syarikat dalam melahirkan bakat berkualiti dan menghasilkan karya yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Rocketfuel Entertainment berharap pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa akan datang. – BOOM!