Memasuki hari keempat tayangannya di seluruh pawagam tanah air, filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa diberitakan telah mengutip jualan tiket berjumla RM8 juta.
Bukan itu sahaja, filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See itu turut mencatat sejarah apabila bakal diterbangkan menembusi pasaran Jepun, Taiwan dan Korea.
Berita gembira itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media oleh wakil syarikat penerbitannya, Golden Screen Cinemas (GSC).
“Air Force The Movie akan terbang ke Jepun, Taiwan dan Korea untuk tayangan di sana.
“Kutipan selama empat hari ditayangkan sehingga semalam telah pun mencecah angka RM8 juta.
“Terima kasih atas sokongan anda semua yang menonton filem ini,” memetik kenyataan tersebut.
Tambahan lagi, kejayaan naskhah berkenaan menjangkaui sempadan negara adalah satu pencapaian yang membanggakan kerana ia dapat dipertontonkan kepada dunia luar.
Selain GSC, Air Force The Movie dipersembahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kerjasama lima syarikat produksi mega iaitu Multimedia Entertainment, Astro, FXHammer Films dan SixFun Media. – BOOM!