Baru-baru ini, pempengaruh Nur Afilah Amir Rusdi tampil menjawab pertanyaan netizen tentang cara suaminya, Adama Muhamed Camara, makan menggunakan tangan di media sosial.
Menurut Fila, setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam menikmati makanan, termasuk suaminya.
“Sejak kecil hingga dewasa, suami saya dibesarkan dengan cara sebegitu. Saya tak boleh ubah dia. Di dunia ini, ada banyak bangsa — Afrika, Arab, Eropah, Latina. Semua ada cara makan tersendiri, bukan sebab tak tahu atau baru belajar. Kalau semua nak ikut cara orang Melayu, dulu baik kahwin dengan orang Melayu. Kita kahwin sebab menerima orang seadanya, bukan nak mengubah dia,” tegas Fila.
Dia turut menambah bahawa bukan semua bangsa di benua Afrika makan fufu, sambil menegaskan bahawa budaya berbeza perlu dihormati.
“Bukan semua bangsa di Afrika makan fufu, macam mana bukan semua orang Asia makan nasi lemak. Tak ada salah, tak ada betul. Apa yang nampak sopan di budaya kita, tak semestinya nampak sopan di budaya orang lain.”
Sebelum ini, seorang netizen meninggalkan komen bersifat kasihan apabila melihat cara Adama makan nasi dengan tangan, yang kelihatan sedikit berderai.
Fila bagaimanapun menerima suaminya dengan sepenuh hati, meskipun kehidupan mereka sering diperhati ramai. – BOOM!