Atlet sukan ekstrem negara, Mat Redho sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila meraih tempat kedua dalam pertandingan Ultimate Ninja Athlete Association (UNAA) yang berlangsung di Guam, Amerika Syarikat hari ini.
Redho atau nama penuhnya Mohd Redha Rozlan, 32, ketika dihubungi memberitahu, segala yang dirancangnya sepanjang berada di Amerika Syarikat berjalan lancar.
“Alhamdulillah, perjalanan saya ke Guam untuk menyertai pertandingan ini membuahkan hasil sebaik memenangi tempat kedua.
“Segalanya sangat lancar sepanjang berada di sini. Sangat berterima kasih kepada rakan pesaing yang juga wakil tuan rumah (USA) iaitu Deren Perez kerana membenarkan saya menginap di rumahnya,” ujar Redho.
Sementara itu, Redho yang juga bekas pelakon itu turut menzahirkan harapannya agar ada pihak yang menghargai penat lelahnya dalam usaha mengibarkan Jalur Gemilang di pentas dunia.
Dia menjelaskan, semua kos perbelanjaan untuk menyertai pertandingan tersebut sejak dari mula pembabitannya hingga sekarang kebanyakannya ditanggung sendiri.
“Untuk makluman, segala kos sepanjang pertandingan kali ini adalah sepenuhnya menggunakan wang sendiri.
“Justeru, diharapkan pada 2023, ada pihak sama ada syarikat korporat mahupun individu sudi menaja perbelajaan saya untuk menggalas cabaran ini.
“Jujurnya, saya dah tak larat nak korek tabung dah!” akuinya.
Menurutnya lagi, kos dibelanjakannya bagi menyertai edisi kelepan UNAA tahun ini, dia menghabiskan kira-kira RM6,000.
Namun katanya, jumlah itu tidak termasuk perbelanjaannya di tanah air untuk menjalani latihan intensif sebagai persiapan sebelum pertandingan. – BOOM!