Aktor dan pengarah popular Farid Kamil mendakwa kenyataan dikeluarkan isterinya, Diana Danielle menerusi hantaran dalam IG Story semalam bercanggah dengan laporan polis yang dibuat.
Menurut Farid atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 42, apa yang dinyatakan isterinya dalam media sosial adalah fitnah dan rekaan semata-mata.
“Assalamualaikum. Sebagai makluman ‘umum’ atas kenyataan Diana Danielle dalam IG Story.
“Kenyataan Diana yang dipaparkan bercanggah dengan laporan polis yang telah dibuat,” katanya dalam beberapa perkongsian di IG Story pada Isnin.
BACA: Tiada Persefahaman, Diana Danielle Tuntut Cerai Terhadap Farid Kamil Kerana Shiqaq
Pelakon utama filem Anwar: The Untold Story itu juga nekad mahu membawa semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya ke muka pengadilan.
“Semua tuduhan dan fitnah yang direka itu, saya akan kemukakan dan akan diperdengar di mahkamah,” ujarnya.
Sejak semalam, perbalahan antara Farid dan Diana memasuki episod baharu apabila timbul isu anak kedua mereka, Aurora trauma kerana dimarahi susulan insiden memetik cili di rumah jiran.
BACA: Diana Danielle Nafi Minta Cerai Lepas Farid Kamil Denda Aurora Petik Cili Jiran
Tidak terhenti di situ, semalam aktres filem Magika itu sekali lagi memuat naik hantaran mendakwa suaminya masih belum memberi nafkah sejak empat bulan lalu, selain tidak membayar semua kos perbelanjaan mereka sekeluarga menunaikan umrah baru-baru ini.
Terdahulu, Diana memfailkan permohonan cerai itu pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
BACA: Tiada Persefahaman, Diana Danielle Tuntut Cerai Terhadap Farid Kamil Kerana Shiqaq
Alasan yang diberikan oleh pelakon itu dalam permohonannya ialah tiada persefahaman, telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dan tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Selepas proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) baru-baru ini, Diana juga, menyebut perkataan ‘tanggungjawab’ adalah alasan mengapa dia nekad untuk bercerai dengan suaminya selain mengatakan bahawa Aurora kini trauma.
Sekadar info, pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad, 10, dan Aurora. – BOOM!