Selepas bekas kekasih gelapnya, Sarah Yasmine, berkongsi perkembangan terbaru mengenai perintah mahkamah yang diusulkan oleh Aliff Aziz, penyanyi dan pelakon itu tampil memberikan penjelasan mengenai status terkini kes tersebut.
Aliff menegaskan bahawa kes di Singapura sudah selesai, namun menekankan bahawa mahkamah telah mengeluarkan ‘final court order’ yang berpihak kepadanya.
“Kes ini telah dimuktamadkan oleh mahkamah, dan perintah awal yang diberikan berdasarkan permohonan saya kini telah disahkan sepenuhnya. Jadi kekeliruan tentang penarikan semula kes ini oleh saya adalah sama sekali tidak benar,” katanya.
Menurut Aliff, beliau yakin pihak di sebelah sana jelas memahami perintah mahkamah yang telah dikeluarkan dan menganggap kes ini selesai secara rasmi.
“Saya harap tiada pihak yang akan memanipulasi fakta mengenai kes ini. Perintah mahkamah tersebut adalah muktamad dan berkuat kuasa serta-merta,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Sarah Yasmine memaklumkan bahawa mahkamah telah mengeluarkan perintah yang melarang dirinya daripada mengulas atau memuat naik sebarang kandungan berkaitan Aliff Aziz di media sosial. – BOOM!