Gitaris kumpulan Barbarik, JoBranko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir mempersoalkan tindakan vokalis Wings, Datuk Awie yang menyentuh soal bayaran tinggi dikenakan oleh kumpulannya dan mengaitkannya dengan isu peribadi.
Menurut JoBranko, dakwaan mengenai harga terlalu tinggi tidak sepatutnya dibangkitkan kerana ia adalah harga standard yang dikenakan oleh Barbarik bagi setiap persembahan mereka.
“Bagi saya, konsert dan hubungan silaturahim tiada kena-mengena. Bahkan, tidak adil untuknya kaitkan isu peribadi dengan soal kerja. Ini soal bisnes dan tiada kaitan dengan isu peribadi,” katanya ketika ditemui di majlis pengumumannya sebagai duta gitar jenama Gibson.
Tambah JoBranko, soal harga adalah perkara biasa dalam mana-mana urusan profesional, termasuk dalam industri muzik.
“Setiap artis, termasuk Barbarik, mempunyai nilai yang sesuai berdasarkan pengalaman, bakat, dan reputasi. Artis lain juga mempunyai nilai yang bersesuaian dengan reputasi serta harga pasaran mereka,” jelasnya lagi.
Ketika ditanya mengenai peluang untuk Barbarik bekerjasama dengan Wings, JoBranko menyatakan kesediaan kumpulannya tetapi dengan cara yang lebih profesional.
“Jika benar ingin bersilaturahim, cara terbaik adalah dengan pendekatan peribadi seperti menghubungi kami. Mereka boleh hubungi saya, berbincang, bersemuka, dan saling memaafkan. Selesai. Mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan bukanlah cara untuk memulihkan hubungan, tapi kelihatan seolah-olah ada niat tidak baik,” katanya lagi sambil mengakui kenyataan itu membuatkannya pening dan bingung.
Walaupun terbuka untuk berkolaborasi, JoBranko menegaskan dia tidak akan kembali menyertai Wings.
“Kami sudah ada haluan masing-masing. Biarlah saya fokus kepada Barbarik. Kami pun sedang dalam proses untuk mengeluarkan album penuh dan bakal mengadakan showcase pada 1 Disember depan,” katanya dengan tegas.
Sebelum ini, Awie dilaporkan mengesahkan bahawa beliau ada mengajukan tawaran kepada Barbarik untuk menyertai Rock Warrior Music Festival (RWMF) di KL Base, Sungai Besi pada 23 dan 24 November ini.
Tawaran tersebut diajukan melalui rakan kongsinya dalam Rumah Produksi Merah (RPM), Datuk Eddy Amir Salim, namun tidak menjadi kenyataan selepas JoBranko didakwa meletakkan harga terlalu tinggi.
Sumber: Berita Harian