Jarang-jarang berkongsi kisah kehidupan keluarganya, penyanyi Ziana Zain mendedahkan dia tidak pernah menghalang anak-anaknya untuk mempunyai hubungan baik dengan bapa mereka, Armin Zaharin.
Menurut Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 54, dia enggan anak-anaknya bersikap derhaka terhadap bapa mereka.
“Saya tidak akan pisahkan anak-anak dengan bapa mereka. Saya cakap dengan mereka, hidup kena ada keberkatan daripada ayah dan ibu.
“Saya tak nak anak-anak derhaka kepada ayah mereka dan juga saya,” tegas Ziana.
Ziana berkongsi perkara itu menerusi program bual bicara Next To Neelofa musim kedua yang bersiaran pada malam Sabtu di saluran Astro Ria.
Malah, penyanyi lagu Puncak Kasih itu turut berpesan kepada anak-anak supaya menjaga bapa mereka apabila sudah tua kelak.
“Sekiranya tiada siapa pun jaga ayah (Armin) apabila dah tua, saya pesan agar mereka ambil dan jaga ayah.
“Saya tidak akan marah, itu tanggungjawab mereka sebagai anak,” tambahnya.
Untuk rekod, Armin didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada Mei 2018 atas tuduhan mencederakan anak lelakinya.
Pasangan terbabit disahkan bercerai pada 12 Julai 2018 selepas 20 tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 22, Muhammad Amar, 18, serta pasangan kembar, Muhammad Airil dan Siti Nurqaseh, 12 tahun. – BOOM!