Impian penyanyi terkenal dari Indonesia, Cakra Khan beraksi di pentas dengan iringan orkestra kesampaian menerusi Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Malah konsert baru-baru ini skala besar di bawah pimpinan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS itu menarik hampir 3,000 penonton yang juga penggemar muziknya di negara ini.
Ketika ditemu bual media, Cakra atau nama sebenar Cakra Konta Paryaman, 32, mengakui dia mengimpikan untuk mengadakan konsert dengan iringan orkestra kerana lebih hidup.
“Muzik dan lagu akan kedengaran lebih indah dengan iringan orkestra,” katanya.
Bukan sahaja iringan barisan pemuzik penuh orkestra, penyanyi bervokal ‘jantan’ dan bersuara serak-serak basah ini turut menghadiahkan peminatnya di Malaysia dengan menyampaikan lagu dari bingkisan album terbaharu yang dilancarkan bulan ini.
Rata-rata penonton juga terhibur dengan persembahan mantap Cakra menerusi rangkaian 23 lagu hit termasuk ‘medley’ dalam konsert tiga jam itu.
Antara lagu hit yang disampaikannya seperti Mencari Cinta Sejati, Setelah Kau Tiada, Salah Tapi Baik, Kepada Hati, Rindu Tak Bersuara, Kamu Adalah, Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah dan lagu baharunya, Broken Symphony.
Bagaimanapun, konsert solo kedua ini tanpa kehadiran ‘cinta hati’ Cakra iaitu ibunya, Etnik Trisuyatmi yang perlu menyelesaikan urusan di Indonesia.
Hanya ucapan serta doa dari ibunya ditayangkan di skrin pentas yang bukan sahaja membuatkan penyanyi itu menitiskan air mata, sekali gus menyentuh hati penonton. Cakra juga mendapat kejutan dengan kehadiran gadis orang kurang upaya (OKU), Jaheerah Nadzri atau Eerah, 30, yang menghadiahkannya dengan burger ‘kahwin’ di pentas serta mendapat sorakan penonton.
Penyanyi itu turut menyampaikan lagu istimewa buat Eerah iaitu Jangan Mudah Putus Asa.
Satu lagi kejutan buat Cakra apabila diminta Datuk Ramli MS atau Tok Ram untuk berduet dengan Ummi Umairah (Umai), 13, yang juga anak saudara Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Seluruh Cinta.
Tampil tiga penyanyi undangan hebat
Tidak dapat dinafikan, kejayaan Konsert Cakra kali ini dimantapkan dengan gabungannya bersama penyanyi senegara iaitu Datuk Seri Rossa dan Judika serta penyanyi tempatan, Dayang Nurfaizah.
Segmen duet dimulakan menerusi gandingan Cakra dengan Dayang menyampaikan lagu Di Pintu Syurga yang juga antara lagu kegemarannya.
Dayang juga meneruskan persembahan secara solo dengan lagu Umpan Jinak Di Air Tenang.
Seterusnya, Cakra berduet bersama Rossa yang dianggap mentornya dengan lagu Terlanjur Cinta sebelum Rossa turut menyampaikan dua lagu berjudul Terlalu Cinta dan Lupakan Cinta.
Gabungan suara Cakra dan Judika ketika menyampaikan lagu Bukan Dia Tapi Aku turut mendapat tepukan gemuruh dari penonton.
Malah Judika menghiburkan peminat menerusi lagu solo Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik-Baik Saja dengan penuh perasaan.
Sementara itu, konsert anjuran Seven Skies Motion Sdn Bhd itu turut menyaksikan Cakra menyanyikan tiga lagu penyanyi tempatan secara solo iaitu Malam Pagi (nyanyian asal Saixse dalam versi Sunda), Mantera Semerah Padi (Datuk M Nasir) dan Khayalan (Black Dog Bone).
Acara kemuncak konsert dihangatkan dengan kemunculan pelakon Meerqeen dan Dayang Nurfaizah membawa kek sambutan ulang tahun Cakra yang ke-32 yang sepatutnya jatuh pada 27 Februari ini. – BOOM!
Sumber: HARIAN METRO