Pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek, mengimbau kembali detik cemas ketika menyelamatkan aktres Maya Karin yang hampir lemas di laut sewaktu penggambaran filem Duyung 16 tahun lalu.
Menurut Saiful, insiden tersebut masih segar dalam ingatan dan sukar dilupakan sehingga hari ini.
“Ketika kejadian, hanya Maya yang terlibat dalam penggambaran babak terakhir. Pada hari itu, kebetulan saya sedang menyelam berdekatan kawasan set untuk menghabiskan baki tangki oksigen.
“Semasa menyelam, saya ternampak Maya bergelut di bawah pulau buatan. Rupa-rupanya, klip dan rambut palsu Maya tersangkut pada jaring dan pihak produksi tidak menyedari kerana keadaan yang gelap.
“Jadi, saya yang berada di dalam laut terus menyelamatkan Maya. Lima minit di dalam laut itu adalah jangka masa yang lama. Maya pula tidak menggunakan tangki oksigen dan berenang dengan memakai ekor duyung,” kata Saiful kepada BOOM!.
Ahli kumpulan Senario itu berkongsi kisah tersebut ketika ditemui di majlis sidang media pengumuman barisan pelakon filem “Duyung: Lagenda Aurora” yang diadakan di The Wetland Studio Putrajaya.
Saiful turut menyatakan rasa terkejutnya apabila mengetahui Maya bersetuju untuk kembali melakonkan watak duyung selepas pengalaman cemas yang pernah dilaluinya sebelum ini.
“Ini adalah perkara yang tidak pernah saya dedahkan. Ia adalah satu trauma buat saya dan Maya. Saya juga agak terkejut bila Maya bersetuju untuk kembali berlakon sebagai Duyung. Kalau ia terjadi kepada saya, mungkin saya akan fobia,” tambahnya lagi.
Mengulas mengenai projek sekuel ini, Saiful mengakui sedikit gemuruh, terutamanya untuk memenuhi ekspektasi peminat.
“Kebiasaannya, sekuel dibuat dalam jangka masa yang dekat. Ada filem yang sesuai untuk dibuat sekuel dan ada juga yang tidak boleh bersambung. Risiko gagal dan mencalarkan reputasi filem asal adalah besar.
“Pada mulanya, saya risaukan jalan cerita. Namun, pihak produksi memberi peluang kepada saya untuk memberikan input supaya timeline filem ini sesuai.
“Saya juga tidak kisah jika peranan saya kecil. Bagi saya, untuk menghidupkan semula francais ini bukanlah tugas yang mudah dan memerlukan pengorbanan. Jadi, saya faham,” katanya menutup perbualan.
Selain Saiful, filem ini turut menampilkan semula pelakon-pelakon asal seperti Maya Karin, Yasmin Hani, dan Yassin.
Beberapa pelakon baharu juga diperkenalkan, termasuk Ayien Floor 88, Anna Jobling, Nadia Brian, dan kumpulan Zero.
“Duyung: Lagenda Aurora” dijadualkan memulakan penggambaran pada 13 September sehingga Oktober ini. – BOOM!