Perasan ataupun tidak, sejak kebelakangan ini, trend memakai inai kuku semakin popular dalam kalangan wanita Malaysia.
Tambahan pula, kini terdapat pelbagai jenama yang mengeluarkan produk inai di pasaran termasuklah selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa.
Inai Neelofa yang dikeluarkan di bahwa jenama NunHa menjadi tular di Malaysia dek warnanya yang gelap dan lain daripada warna inai biasa yang terang.
Malah ada netizen yang menggelarkan warna kuku inai Neelofa seperti jari yang tersepit di pintu neraka.
Neelofa sewaktu ditemui pihak media di majlis pelancaran tudung terbaharunya iaitu Naelofar x Disney Alice In Wonderland berkata, warna yang terhasil itu adalah warna asli dan bukan ditambah sebarang pewarna tiruan.
“Perkara pertama yang saya titik beratkan untuk sebelum mengeluarkan inai ini ialah saya tidak mahu ada bahan kimia, pewarna makanan dan benda yang pelik-pelik untuk cepat resap dan sebagainya.
“Saya menerima berpuluh sampel serbuk inai yang telah ditapis sebanyak sembilan kali dengan tona warna yang berbeza-beza.
“Meskipun perancangan awal bukan untuk menjual inai serbuk, tetapi inai serbuk lebih praktikal untuk mendapatkan warna yang dikehendaki berdasarkan bancuhan sendiri.
“Jika kita buat inai sendiri kita akan tumbuk, lebih lumat daun inai itu lebih cantik warnanya. Jadi, sama konsepnya dengan inai Nunha yang diperbuat daripada serbuk bermutu tinggi. Kerana itu warnanya boleh jadi terang atau gelap,” jelasnya.
Nampaknya apa sahaja yang dijual oleh Neelofa pasti akan menjadi tular dan fenomena. Ynag penting setiap orang ada pilihan dan selera masing-masing. Tidak perlu kita berdebat produk siapa yang lebih bagus. – BOOM!