Komposer lagu hit nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Diari Hatimu iaitu Ferdy Ferdian Khalid NS kelmarin memaklumkan bahawa dia kini sudah seminggu terlantar di Hospital Tuanku Aminah (HTA), Johor Bahru, Johor akibat menghidap kanser prostat dan tulang.
“Kedua-dua belah kaki saya sekarang tak boleh bergerak dan hanya mampu terbaring saja. Saya hidap kanser prostat hingga melarat ke tulang dan sebab itulah bahagian kaki turut menerima kesannya. Pada masa sama, saya turut menjalani rawatan kanser tulang,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, Khalid atau nama sebenarnya Jahi Hasim, 71, diserang penyakit jantung dan terpaksa dipasang dua ‘spring’ di bahagian organ tersebut.
Nama Khalid mula menyerlah apabila karya bergenre balada yang dimuatkan dalam album Adiwarna Siti Nurhaliza keluaran tahun 1998 itu menjadi single kedua Siti dan meletup dalam kalangan pendengar.
Terdahulu, dia juga mempunyai produksi rakaman di bawah label Irama Perindu yang memfokus kepada pengendalian kerjaya artis kelahiran Johor.
Selain aktif dalam bidang muzik, dia turut menyediakan khidmat urut dan membuka butik pakaian, namun penularan pandemik Covid-19 menjejaskan operasi kedua-dua perniagaan diusahakannya.
“Kedai yang besar sudah ditutup kerana saya terpaksa hentikan pekerja memandangkan masalah kewangan. Bisnes NS Tradisional saya hanya tinggal kedai kecil seperti yang terdapat di Larkin dan Taman Suria,” katanya. – BOOM!