Selepas enam tahun, penyanyi dan komposer terkenal Bollywood, AR Rahman kembali menghiburkan peminat di Malaysia dalam sebuah konsert berskala besar iaitu AR Rahman Secret Of Success Live In Malaysia.
Konsert yang dibawakan oleh DMY Creation Sdn. Bhd. itu akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 28 Januari 2023.
Menerusi akaun media sosialnya, AR Rahman meluahkan keterujaannya untuk kembali ke Kuala Lumpur dan bertemu para peminat yang selama ini menyokong kerjaya seninya.
“Kuala Lumpur sentiasa dekat di hati saya dan saya amat berbesar hati untuk kembali ke Malaysia serta menghiburkan peminat-peminat di sini”, katanya.
Seramai 60,000 penonton dijangka bakal memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menariknya, konsert berkenaan akan memberi pengalaman berbeza apabila menghimpunkan peminatnya dari seluruh dunia.
Liputan utama konsert ini akan diadakan di Burj Khalifa di Dubai dengan pertunjukan LED yang bersiaran secara langsung dari konsert di Kuala Lumpur selama tiga minit.
Menurut Pengerusi dan Pengasas DMY Creation Sdn Bhd, Datuk Mohamed Yusoff, konsert tersebut akan dipromosikan di 14 buah negara.
Antaranya India, Singapura, Emiriah Arab Bersatu, Vietnam, Indonesia, United Kingdom, Thailand, Australia, Sri Langka, Arab Saudi dan beberapa negara lain melalui set promosi berbeza bagi menarik pelancong asing.
“Mengambil inspirasi daripada slogan Malaysia Truly Asia, kami mengambil peluang ini untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan mengharapkan kerjasama Tourism Malaysia melalui penganjuran konsert.
“Objektif utama kami adalah untuk memasarkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan muzikal dan menjadikan acara ini sebagai batu loncatan untuk merangsang industri pelancongan Malaysia dalam era pasca COVID19,” katanya pada majlis sidang media baru-baru ini.
Harga tiket untuk menyaksikan konsert ini pula bermula dari RM88, RM288, RM388, dan RM688 (Early Bird).
Sebarang pertanyaan berkaitan tiket boleh layari laman web, www.ticket2u.com.my atau hubungi Maideen di talian 03-6177 7427.
Sementara itu, hasil tinjauan di laman web penjualan tiket, beberapa zon tiket telah habis dijual. Oleh itu, buat peminat jangan lepaskan peluang untuk dapatkan tiket sebelum terlambat. – BOOM!