Ikon nasyid dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun, kembali memeriahkan industri muzik tanah air dengan album studio terbaharunya berjudul “Haramain”. Album ini diilhamkan daripada pengalaman spiritual Hafiz di dua kota suci, Mekah dan Madinah, dan diterbitkan oleh Sony Music Malaysia.
“Kunjungan ke Tanah Suci banyak memberi inspirasi dalam penghasilan album ini. Ia menjadi momen terbaik untuk saya menghasilkan lagu-lagu yang membangkitkan rasa rindu dan keinginan menunaikan ibadah Haji dan Umrah,” kata Hafiz, yang juga Presiden dan Pengasas Haje Care, sebuah NGO aktif dalam kerja amal.
Album “Haramain” menampilkan 10 lagu termasuk Zamzam, Raudah, Batu Hitam, dan Kiswah. Trek Zamzam, yang turut menampilkan kumpulan Ruffedge, menjadi penanda aras album ini. Menurut Hafiz, setiap lagu membawa mesej kecintaan terhadap Tanah Suci dan mengajak pendengar menelusuri perjalanan spiritual.
“Saya ingin album ini menjadi teman spiritual buat pendengar, membawa mereka lebih dekat dengan Allah SWT,” jelas Hafiz.
Proses pembikinan album ini memakan masa enam bulan, dengan rakaman bukan sahaja dilakukan di Malaysia tetapi juga di Turki untuk mendapatkan elemen muzik asli Timur Tengah seperti Baglama, klarinet, dan perkusi. Gabungan muzik Timur Tengah dengan elemen akustik moden menghasilkan konsep pop nasyid yang segar dan memukau.
Selain itu, video muzik (MV) album ini menampilkan keindahan sinematik Mekah dan Madinah yang memberikan pengalaman visual mendalam kepada penonton. Hafiz turut merancang menerbitkan versi antarabangsa album ini dengan terjemahan lagu-lagu ke dalam bahasa Inggeris, Arab, Urdu, dan Mandarin.
“Doakan yang baik-baik agar usaha dakwah melalui muzik ini dapat berkembang,” ujar Hafiz.
Album Haramain kini boleh didengari melalui semua platform penstriman utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music, manakala MV eksklusifnya boleh ditonton di saluran YouTube HafizHamidun. – BOOM!