Dua bintang Rocketfuel Entertainment, Hael Husaini dan Nadeera Zaini, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melayakkan diri ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), selain bakal beraksi di acara berprestij Asian Television Awards ke-29 (ATA29) di Jakarta, Indonesia.
Buat pertama kali, Nadeera melangkah ke pentas AJL menerusi lagu hit “Bukan Lagi Kita”, hasil ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh.
“Saya sangat terharu. Ini adalah perjalanan sukar selama lebih sedekad. Terima kasih kepada TV3 dan semua yang menyokong saya. Dipilih sebagai finalis AJL sudah jadi satu kemenangan buat saya,” ujar Nadeera dengan nada sebak.
Hael Husaini pula terus membuktikan statusnya sebagai pencipta lagu unggul apabila dua lagunya, “Diam” dan “Bukan Lagi Kita”, berjaya mara ke AJL39.
“Saya gembira melihat Nadeera akhirnya mendapat pengiktirafan yang layak. AJL kali ini saya tampilkan sesuatu yang berbeza dan nantikan kejutan di pentas nanti,” ujar Hael, yang pernah menjuarai AJL32 dan AJL33.
Selepas AJL39, Hael dan Nadeera akan mewakili Malaysia di ATA29 pada 29 dan 30 November 2024. Mereka tercalon dalam kategori ‘Most Popular Solo Male Performer’ (Hael Husaini) dan ‘Most Popular Solo Female Performer’ (Nadeera Zaini).
Selain pencalonan, mereka juga dijadualkan membuat persembahan di pentas yang turut menampilkan nama besar seperti Luna Maya, Raffi Ahmad, dan Putri Ariani.
“Ini satu penghormatan besar untuk kami dan negara. Kami berjanji memberikan persembahan terbaik,” ujar Nadeera penuh semangat. – BOOM!