Pasangan selebriti popular, Nur Fazura dan Fattah Amin berkongsi ucapan istimewa di Instagram sempena ulang tahun ke-4 puteri tunggal mereka, Nur Fatima Aisya.
Fazura dalam hantaran penuh kasih sayang, menitipkan doa agar puterinya sentiasa bersyukur dan menghargai semua yang menyayanginya, meskipun tiada sambutan besar seperti tahun-tahun sebelumnya.
“BismillahiMasyaAllah.. Syukur Alhamdulillah.. Genap hari ini anakanda ku Nur Fatima Aisya mencapai umur ke 4 tahun. Walaupun tahun ini mommy tak dapat throw you the biggest private parties like I have in the past, but rest assured that I love you more than words can ever describe. Bersyukur sentiasa wahai anakku sayang di dalam apa saja keadaan dan selalu lah berterima kasih kepada Allah SWT dan hargai semua orang yang menyayangi mu,” tulis Fazura.
Fattah Amin turut memuat naik hantaran di Instagram, meluahkan rasa rindu dan mendoakan anak perempuannya agar membesar menjadi insan solehah yang bijak dan dilindungi Allah.
“Selamat hari lahir anakku Nur Fatima Aisya Binti Abdul Fattah. Semoga membesar sihat menjadi anak yang solehah, bijak pandai, sihat walafiat dan sentiasa di bawah perlindungan Allah S.W.T. Daddy misses you,” luah Fattah penuh kasih.
Ruangan komen dihujani dengan ucapan dari peminat yang tersentuh membaca dedikasi kedua-dua selebriti itu, malah ramai yang mendoakan kebahagiaan keluarga kecil tersebut di tengah-tengah spekulasi rumah tangga mereka yang semakin hangat diperkatakan.
“Tak tahu kenapa lebih tersentuh baca posting daddy. Selamat hari lahir Nur Fatima Aisya binti Abdul Fattah. Semoga sentiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah, membesar menjadi anak solehah.”
“Semoga semuanya baik-baik saja untuk Fatima, daddy and mommy. Semoga Fatima sentiasa dalam perlindungan Allah dan membesar sebagai anak yang solehah, hebat dan bijak, Amin Amin YRA.”
Sekadar info, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya.
Bagaimanapun, terdapat spekulasi mengenai kemelut rumah tangga mereka selepas Fazura dilaporkan telah memfailkan perceraian terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 13 September lalu. – BOOM!