Belum reda kisah perceraian mereka, bekas pasangan sensasi Fattah Amin dan Nur Fazura kini mengejutkan ramai dengan berita pelancaran lagu duet baharu mereka yang berjudul ‘Bertahan Demi Cinta’.
Lagu ini diumumkan oleh sebuah label rakaman Indonesia, Hits Records, menerusi hantaran di Instagram, yang memaklumkan bahawa lagu tersebut akan dilancarkan di semua platform digital pada 10 Oktober, Khamis ini.
Menariknya, lagu hasil sentuhan komposer terkenal, Ippo Hafiz, sebenarnya telah lama dirakam oleh Fattah dan Fazura sewaktu mereka masih bergelar suami isteri.
Melalui hantaran sama, Hits Records turut berkongsi sedikit ‘teaser’ lagu berkenaan.
Namun begitu, reaksi pelbagai diluahkan oleh netizen di ruangan komen. Ada yang merasakan kurang sesuai untuk melancarkan lagu ini sekarang, memandangkan isu perceraian mereka masih hangat diperkatakan.
“Kenapa pilih waktu sekarang? Drama apa ni?” tulis seorang netizen.
Sebelum ini, pada Isnin lalu, Fattah dan Fazura disahkan bercerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh, kira-kira jam 9.45 pagi.
Fazura difahamkan telah memfailkan perceraian terhadap Fattah pada 13 September di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia empat tahun. – BOOM!