Selepas 16 tahun Maya Karin membawa watak duyung dalam filem “Duyung,” kini giliran pelakon jelita Anna Jobling, 24, mengambil alih peranan tersebut dalam sekuel terbaru berjudul “Duyung: Legenda Aurora.”
Filem ini diarahkan oleh Prof. Datuk Dr. A Razak Mohaideen dan diterbitkan oleh KRU Studios Sdn Bhd, dengan kerjasama 8 Bit Studio Sdn Bhd dan Primeworks Studios Sdn Bhd.
Datuk Norman Abdul Halim, Penerbit Eksekutif filem ini, menyatakan bahawa Anna dipilih berdasarkan kebolehannya berenang, yang mana merupakan kriteria penting kerana kostum duyung memerlukan kemahiran renang yang tinggi.
“Kami memang mencari pelakon yang boleh berenang dengan baik sebab nak kena pakai kostum duyung itu bukan senang. Ia ada cabaran tersendiri dan kami lihat Anna dapat melakukannya dengan baik kerana dia boleh berenang,” katanya dalam sidang media di Wetland Studios.
Sekuel ini juga menampilkan gabungan pelakon lama dan baharu, termasuk Maya Karin, Saiful Apek, Yasmin Hani, Ayie Floor 88, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, dan kumpulan Zero.
Menariknya, watak duyung lelaki turut diperkenalkan dalam filem ini untuk menambah warna pada jalan ceritanya.
Norman juga menegaskan bahawa KRU Studios kembali ke industri filem dengan francais ini setelah berehat sekian lama.
“Memang tak dinafikan, KRU sudah lama berehat dari industri perfileman tanah air. Jadi, apabila mendapati projek filem ini (Duyung) masih sesuai dihasilkan, kami fikir sekarang masanya untuk kembali beraksi di layar perak,” katanya.
Filem ini akan mengekalkan mesej pemuliharaan alam sekitar yang pernah diketengahkan dalam filem terdahulu.
Sementara itu, Razak berkata, sejak mencapai kutipan pecah panggung pada 2008, masih ramai yang bertanya mengenai bilakah kesinambungan filem itu hendak dihasilkan.
“Bagaimanapun, apabila dapat dirasakan ini adalah masa sesuai untuk membuat sekuel filem Duyung, saya mengadakan perbincangan dengan Norman dan turut berusaha juga mencari penaja yang berminat,” katanya.
Penggambaran “Duyung: Legenda Aurora” akan bermula dari 13 September hingga 13 Oktober di 22 lokasi secara keseluruhan sekitar Langkawi, Pulau Payar, Lembah Klang, dan Putrajaya.
Filem bergenre komedi fantasi ini dijangka berdurasi 110 minit dan akan ditayangkan di pawagam tahun depan. – BOOM!