Sewaktu konsert kedua Gegar Vaganza musim kesembilan (GV-9) berlangsung pada Ahad lepas, kelihatan Sharnaaz Ahmad turut hadir menonton secara langsung program tersebut dan duduk di barisan hadapan.
Kehadiran Sharnaaz di dewan MBSA itu diumumkan oleh hos, Elly Mazlein sejurus Shila Amzah membuat persembahan menerusi lagu Getaran Cinta Di Jiwa.
Elly sempat mengusik kedua-duanya yang pernah mempunyai sejarah hubungan cinta kira-kira sepuluh tahun lalu.
Menurut Shila atau nama sebenarnya NurShahila Amir Hamzah, 32, sepanjang beraksi di atas pentas, dia sama sekali tidak nampak kelibat Sharnaaz di depan matanya sehinggalah tamat persembahan.
“Tetapi kalau saya nampak dari awal pun, saya tak rasa perkara itu akan menjejaskan persembahan saya. Lagipun sejarah hidup saya dengannya sudah lama berlalu. Sudah 10 tahun.
“Kalau tanya saya sewaktu saya berusia 22 tahun dulu, mungkin saya akan rasa canggung. Tetapi jika sekarang, saya okey sahaja.
“Saya sempat buat isyarat tangan kepadanya, tetapi sebab dia pakai kaca mata hitam, tak tahulah dia nampak atau tak,” katanya sambil ketawa.
Ditanya sama ada dia selesa apabila masih ramai cuba mengaitkannya dengan Sharnaaz terutamanya di saat sedang bertanding di pentas GV-9, Shila akui sudah faham dengan dunia ‘showbiz’.
“Saya nak salahkan orang yang masih bercakap tentang hal ini pun tak boleh juga. Mungkin ada beberapa perkara yang masih jelas di ingatan mereka. Takkan saya nak pergi kepada mereka dan cakap tolonglah lupakan,” katanya.
Pada malam itu juga, penyanyi asal Getaran Cinta Di Jiwa iaitu Liza Hanim turut hadir memberikan sokongan dan ternyata Shila tidak berhadapan masalah menyanyikan lagu tersebut di hadapan Liza.
“Saya okay sahaja menyanyi di hadapan mereka berdua. Kak Liza adalah salah seorang artis di Malaysia yang sangat baik hati, dan mempunyai tenaga dan aura positif yang luar biasa.
“Tetapi sebenarnya, jangankan Sharnaaz, Kak Liza duduk kat mana pun saya tak perasan,” kongsinya.
Untuk konsert minggu ketiga nanti, Shila akan membawakan lagu dangdut berjudul Secangkir Madu Merah nyanyian asal Sheeda dan Amelina. – BOOM!