Usahawan kontroversi, Datuk Seri Vida, akhirnya tampil memberikan kenyataan mengenai isu kediaman, barangan, dan kereta mewah miliknya yang disita baru-baru ini.
Menurut Vida, beliau memandang serius perkara ini dan berjanji untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menyelesaikan masalah tersebut. Usahawan itu turut mendedahkan bahawa beliau telah melantik peguam bagi memastikan isu ini diuruskan secara profesional dan mengikut lunas undang-undang.
“Saya ingin memaklumkan bahawa saya mengambil perkara ini dengan serius dan akan memberikan sepenuh perhatian terhadap isu yang dibangkitkan. Saya telah melantik peguam untuk menasihati dan membantu saya menyelesaikan perkara ini dengan cara yang terbaik,” ujar Vida.
Ketika ini, Vida dipercayai sedang bercuti di China tetapi sempat mengucapkan terima kasih atas keprihatinan netizen. Beliau juga meminta semua pihak menghentikan kritikan dan memberikan ruang untuknya menangani isu ini dengan tenang.
“Saya amat menghargai sokongan semua pihak dan berharap agar diberi ruang untuk menangani perkara ini dengan tenang dan profesional,” katanya.
Terdahulu, beberapa aset Vida di Ipoh, Perak, telah disita selepas perintah dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Ipoh, Anis Hanini Abdullah. Permohonan penyitaan tersebut dibuat oleh Mohammad Taufik Kamarul daripada Ah Design Communication Sdn Bhd.
Proses writ penyitaan dan penjualan dilakukan sekitar jam 9 pagi di kediaman Vida, yang juga dikenali sebagai Hasmiza Othman. Difahamkan, sitaan ini berpunca daripada kegagalan Vida menyelesaikan baki tunggakan berjumlah RM1,060,285 kepada syarikat kontraktor pembinaan itu sejak 2018. -BOOM!