Pempengaruh muda, Hisham Raus tidak menyangka ‘content’ campuran air berkarbonat Sprite dan teh uncang yang dimuatnaik di laman sosial, meraih perhatian sehingga ke luar negara.
Menurut Hisham, kandungan itu mendapat lebih 32 juta tontonan iaitu, 20 juta di Instagram dan yang selebihnya di TikTok.
Gara-gara kandungan itu juga pengikut Hisham di Instagram dan TikTok juga naik mendadak sehingga 250,000 di kedua-dua platform, dalam masa seminggu.
@hishamraustv REFRESHING GILER ! – Sprite Lemon Tea #fyp #tiktokfood #lemontea ♬ original sound – Hisham Raus
“Pada asalnya niat di hati untuk memastikan posting saya sentiasa konsisten, maka saya ke kedai runcit dan tergerak hati pula nak beli Sprite dan teh. Perkara ini satu kejadian yang luar biasa buat saya. Ini kerana kebanyakan kandungan yang dimuatnaik hanya mencapai ratusan ribu tontonan saja.
“Tetapi berbeza dengan yang ini (kandungan Sprite dan teh), ia mendapat reaksi positif sehingga ke Eropah. Rasa seronok pula bila mereka turut cuba resepi ini untuk dijadikan kandungan media sosial mereka pula,” katanya.
Tambah Hisham, video-video resepi mudah menggunakan kaedah suntingan fast cut membuatkan golongan warganet menggelarkan dirinya ‘Bayashi Malaysia’.
Untuk makluman, Bayashi adalah pempengaruh TikTok Jepun yang terkenal dengan posting resepi mudah dengan menggunakan suntingan fast cut.
Sementara itu, bercakap mengenai kehidupan sebagai pempengaruh, perkara itu bukan mudah kerana memerlukan semangat yang tinggi dan komited untuk terus konsisten dalam setiap kandungan video yang dimuatnaik.
“Bayangkan saya terpaksa berjaga sehingga 4-5 pagi untuk mencari idea apa yang patut dihasilkan agar ia dapat perhatian ramai dan semestinya memberi manfaat buat yang menonton.
“Bila nak rekod pun bukan mudah, saya tidak mempunyai jurukamera dan hanya menggunakan telefon bimbit saja untuk rekod dan guna kemera belakang (tiada monitor) (bukan selfie kamera).
“Dan yang paling penting, saya perlu konsisten agar para pengikut sudah bersedia dengan posting saya yang seterusnya,” ujar anak kelahiran Kuala Terengganu itu.
Mengenai Hisham, beliau memulakan kariernya sebagai pempengaruh pada tahun 2018 menerusi memuat naik video di Youtube.
Bagaimanapun, kerana hasad dengki segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan Hisham, beliau berputus asa dan mengambil keputusan berhenti untuk terus membuat kandungan video.
Bagaimanapun, selepas beberapa tahun, semangatnya semakin pulih dan mula aktif di Instagram dan TikTok pula.
Dalam pada itu, kemunculan semula Hisham menghasilkan pelbagai video-video kreatif masih tidak menghalang kewujudan haters.
Namun dia mengambil perkara itu sebagai komen-komen pedas yang akan mengasah lagi skil penghasilan videonya.
“Dulu orang siap mengata ‘makan macam babi!’ kerana bunyi ASMR, dan macam-macam lagi orang hina. Saya sedih sehingga mengalirkan air mata. Penat buat video, orang dengan mudahnya mengecam tanpa belas kasihan.
“Saya selalu cari video-video pempengaruh luar negara sebagai rujukan dan banyaklah komen jahat kerana kononnya saya meniru.
“Bagaimanapun kita matang kerana pengalaman yang dilalui kan… Saya berbalik kepada niat, apa tujuan utama saya jadi pempengaruh? Untuk menambahkan pendapatan dan boleh tampung keluarga.
“Jadi saya anggap haters akan buatkan kita jadi lebih baik. Tanpa mereka, video kita belum cukup baik. Alhamdulillah, sekarang ini, yang mana pernah jadi haters kini pengikut setia saya,” tuturnya. – BOOM!