Penyanyi, Cliff Umar atau nama sebenarnya Abdullah Umar Joseph, 43, dengan rendah hati mengakui segala yang berlaku adalah akibat kesilapan diri sendiri selepas didenda atas kesalahan memiliki dadah.
Menerusi hantarannya di Instagram, Cliff kini bersedia untuk memulakan lembaran baharu dalam hidupnya selepas melalui fasa yang sukar.
“Ini adalah permulaan yang baru untuk saya, kehidupan yang baru. Banyak perkara sedang berlaku dalam hidup saya sekarang.
“Seperti yang anda tahu, saya sudah selesai dengan semua perbicaraan, dan ya, saya dikenakan denda.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, ia adalah kesilapan saya sendiri. Tiada sesiapa yang memaksa saya untuk mengambil dadah,” ujar Cliff menerusi satu hantaran video di Instagram semalam.
Cliff sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan memiliki dadah jenis heroin, di mana beliau didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.
Mahkamah memerintahkan Cliff membayar denda sebanyak RM5,500 atas kesalahan memiliki dan menggunakan dadah pada Mei lalu. Selain itu, beliau juga dikenakan tempoh pengawasan selama dua tahun oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Dalam hantaran berasingan, juara Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7) ini memberi gambaran bahawa beliau kini memulakan pekerjaan baharu sebagai pemandu e-hailing, susulan sekeping gambar yang dimuat naik olehnya.
“Tidak kira apa sahaja yang berlaku dalam hidup saya, sama ada saya beraksi di pentas nyanyian atau kini menjadi pemandu Gojek, saya tetap bersyukur kepada Tuhan atas takdir hidup saya.
“Ini termasuk kehilangan cinta hati saya, Anita, yang benar-benar menghancurkan hati saya.
“Namun, walau apa sahaja yang menimpa, saya akan tetap bangkit lebih kuat dan lebih baik.
“Kini, saya lebih bahagia berbanding sebelum ini, dan hidup saya terasa lebih bermakna,” tulis Cliff penuh keinsafan. – BOOM!