Penyanyi rap dari Singapura, Alyph menitip pesanan buat semua agar sentiasa ‘Check’ atau sentiasa beringat.
Menurut penyanyi yang meletup dengan lagu Swipe ini, bukan sesuatu yang mudah untuk memastikan diri sentiasa berada di landasan betul.
Katanya, walaupun kedengaran agak ringkas dan bersahaja, mesej ingin disampaikan agak mendalam. Ia berkisar mengenai toleransi yang perlu diambil berat dalam perhubungan dengan orang sekeliling.
“Untuk melaksanakannya bukanlah dengan menetapkan segalanya di dalam ‘kepala’ sendiri, tetapi anda juga harus memastikan persekitaran, tenaga dan orang di sekeliling anda sama-sama searah dan sependapat,” katanya.
Selepas tular dengan lagu Swipe, kini, ‘Check’ pula menjadi taruhan Alyph.
Karya ini ditulis, diterbit dan dipersembahkan sendiri oleh bintang hip hop itu dan sudahpun dilancarkan di semua platform digital di bawah Def Jam South East Asia.
“Sebenarnya Check ditulis dahulu sebelum Swipe. Saya berharap Check juga akan menempa kejayaan seperti Swipe.
“Kini, saya hanya bekerja keras untuk menyiapkan sebanyak lagu yang sempat dengan setiap peluang yang ada,” katanya, sambil menambah bahawa 2023 adalah tahun terbaik untuk memperluaskan fenomena yang telah dicipta melalui Swipe.
Katanya, tunjang utama lagu Check adalah teladan yang dituai hasil bertahun pengalaman dalam industri muzik. Ia termasuk kebijaksanaan yang dikumpul dalam proses berkaryanya.
“Jalan ceritanya adalah ibarat saya berkongsi senarai bagaimana untuk menyemak tahap mental supaya masih dalam keadaan waras. Melodinya pun datang dengan mudah seiring rentak dihasilkan.
“Sambil cuba memastikan atau ‘check’ teman-teman sekeliling, suasana persekitaran dan juga refleksi sendiri dalam cermin, lagu ini mengingatkan bahawa risiko bahaya itu sentiasa ada. Jadi saya tidak boleh tersilap langkah,” katanya.
Check kini boleh distrim di semua platform digital dan muzik lagu ini boleh ditonton di YouTube bermula 10 Februari, jam 9 malam. – BOOM!