Cef selebriti, Anis Nabilah menyatakan hasratnya untuk memasak masakan Melayu buat santapan Ratu Elizabeth II.
Katanya, ia adalah suatu cabaran besar buatnya memandangkan Ratu Elizabeth tidak gemar masakan yang mempunyai bawang putih sedangkan dia menyukai bahan itu dalam masakan.
“Saya rasa kalau diberi peluang untuk masak buat seseorang, saya pilih Ratu Elizabeth.
“Kalau perlu masak, saya mungkin akan masak makanan Melayu yang tidak ada bawang putih. Mungkin saya akan memasak rendang, masak lemak atau asam laksa,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, cef itu sekali lagi diiktiraf di luar negara apabila memenangi dua anugerah di The Gourmand Awards: World Cookbook Awards 2021, Umea, Sweden.
April lalu Anis atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin dinobatkan Asean’s Most Influential Chef pada Asean Food & Travel Awards 2022.
Anis berkata, dia bersyukur dan sama sekali tidak menjangka dirinya berpeluang menerima dua anugerah pada acara berprestij berkenaan
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan memang tak sangka langsung.
Sebenarnya saya tahu yang saya dicalonkan untuk satu kategori iaitu Books by Celebrity Chef untuk buku resipi saya iaitu Comfort Food by Anis Nabilah for Thermomix.
“Syukurlah apabila diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam kategori itu.
“Pada masa yang sama, saya dimaklumkan tentang satu lagi kemenangan dalam kategori Best Food Show di Asia Tenggara. Saya sangat terkejut dan bersyukur. Sampai sekarang pun, saya masih mencuba untuk menerima kemenangan ini,” katanya. – BOOM!