Penyanyi yang juga juara sulung program realiti Akademi Fantasia iaitu Vince mengakui ada menerima tawaran untuk menjadi salah seorang peserta program nyanyian Gegar Vaganza (GV).
Namun kata pemilik nama penuh Vincent Chong Ying Cern ini, dia terpaksa menolak tawaran berkenaan kerana sudah terikat dengan sebuah projek.
“Saya telah dijemput untuk menyertai GV tahun ini. Tetapi sayangnya saya tak dapat turut serta. Saya terikat dengan projek untuk mengarahkan sebuah program realiti di Sarawak.
“Sehari sebelum sesi ujibakat untuk GV, saya telah dihubungi oleh pihak produksi di Sarawak mengesahkan projek ini. Jadi saya terpaksa akur dengan menolak tawaran menyertai GV.
“Apabila saya beritahu pihak produksi, mereka agak kecewa. Tetapi nak buat macam mana, tak ada rezeki untuk saya beraksi di pentas GV tahun ini,” katanya.
Kata pelantun lagu Mengapa Harus Cinta itu, ia bukan kali pertama dia ditawarkan untuk menjadi peserta GV kerana pernah ditawarkan peluang sama usai menyertai The Masked Singer Malaysia musim pertama lagi.
“Ketika itu saya rasa jarak masak diantara The Masked Singer Malaysia dan GV terlalu dekat. Kali ini pula saya terpaksa tolak sebab terikat dengan kerja lain. Harap-harap tahun depan mereka tidak serik untuk panggil saya lagi,” katanya.
Hampir 20 tahun bergelar penyanyi sejak menjuarai Akademi Fantasia musim pertama pada tahun 2003, Vince akui dia sangat rindu untuk membuat persembahan di atas pentas besar seperti GV.
“Ada satu ketika saya pernah senyap dari industri. Tetapi ketika itu saya banyak libatkan diri dengan persembahan teater muzikal. Untuk saya teater muzikal menjadikan saya penghibur yang lebih baik kerana kita tak boleh buat salah. Setiap hari penonton yang datang berbeza-beza. Jadi anda perlu sentiasa bertenaga setiap masa,” katanya.
Vince mengorak selangkah lagi dalam kerjayanya apabila dia kini bergelar penerbit untuk siri animasi kanak-kanak.
“Walaupun saya sudah tidak buat muzik untuk saya sendiri, tetapi saya buat muzik untuk kanak-kanak. Fokus kami untuk animasi ini ialah kanak-kanak yang berusia dari dua hingga enam tahun.
“Idea untuk menghasilkan animasi ini mula tercetus dua tahun sebelum PKP. Tetapi ketika itu saya tak rasa macam perlu buat segera.
“Tetapi disebabkan PKP, saya rasa inilah masa terbaik sebab nak menyanyi pun tak ada tawaran. Platform digital sangat mendapat tempat di hati penonton dan memudahkan kerja kerana boleh bekerja dari rumah,” ujarnya.
Kata bapa kepada sepasang cahaya mata ini lagi, apa yang menarik mengenai animasi terbitannya itu, setiap episod mempunyai runut bunyinya sendiri.
“Saya tulis sendiri lagu-lagu berkenaan. Apa yang saya boleh katakan, animasi ini sangat ini sangat bertaraf antarabangsa kerana kami juga mahu mensasarkan pasaran antarabangsa,” ujarnya. – BOOM!