Bekas isteri Ayie Leon iaitu Zulisa Zulkifli tampil menyangkal kenyataan vokalis rock terbabit bahawa beban kewangan menjadi punca perceraian mereka.
Sebaliknya, Zulisa mendedahkan bahawa bekas suaminya itu tergila-gilakan ‘wanita perampas’ sehingga terpaksa menceraikannya kerana mahu berkahwin lain.
“Suami yang paling kurang ajar. Masalah kewangan kepala bapak kau! Padahal aku yang kerja tolong bayar rumah, sekolah anak.
“Sedap-sedap cakap masalah kewangan! Walhal sebab kau tergila-gilakan Nurul Adnan.
“Kau ajak kahwin tetapi dia tak nak dimadukan. Jadi mangsanya aku, kena cerai.
“Agak-agaklah nak bercakap, jangan aniaya aku dari dulu sampai sekarang, apa masalah kau?” soalnya.
Semalam, BOOM! melaporkan Ayie atau nama sebenarnya Nazrimi Md Ali mengakui perpisahannya dengan Zulisa terjadi akibat tidak mempunyai pendapatan sepanjang pandemik.
ARTIKEL BERKAITAN: Kembali Aktif Menyanyi, Rupa-rupanya Ayie Leon Sudah Bercerai Sejak Dua Tahun Lalu
Katanya, dia ingin menumpukan kerjaya nyanyian mempopularkan semula lagu-lagu rock kapak selepas berstatus duda.
Dalam pada itu, Zulisa yang memaklumkan dirinya sedang sakit juga mendakwa Ayie bersifat kejam kerana menghalangnya berjumpa dengan anak mereka, Putri Nazlisabella, 16.
“Anak aku, kau tak bagi jumpa, sedangkan aku tak pernah pun halang dia jumpa kau.
“Allah akan balas apa kau buat dari dulu sampai sekarang. Sudah jatuh sakit pun, kau masih kejam nak aniaya aku lagi.
“Mak bapak aku dah meninggal dunia, mungkin masanya untuk kau ‘tibai’ aku sebab tiada sesiapa nak mengadu. Tetapi aku ada Allah.
“Anak pun jadi derhaka sebab ikut cakap kau! Ibu aku banyak berkorban untuk cucunya. Tetapi akhirnya ini dia balas? Terima kasihlah anak,” katanya. – BOOM!