Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi teruja apabila bakal berkongsi pentas dengan maestro muzik, David Foster, pada Konsert David Foster & Friends Asia 2023 pada 7 Ogos ini di Mega Star Arena.
Menurut Siti, ia ibarat impian menjadi kenyataan selepas mendapat tahu pihak pengurusan komposer terkenal dari Kanada itu menitipkan undangan.
Tambah Siti, lebih mengujakan apabila dia turut diundang menjayakan konsert di Singapura yang berlangsung pada hari berikutnya.
“Pada tahun 2014 saya pernah beraksi bersama Foster dan itulah kali pertama. Selepas itu mereka ada mengundang saya beberapa kali untuk membuat persembahan bersama di Indonesia tapi rezeki tidak menyebelahi saya ketika itu.
“Jadi, peluang yang datang ini, tidak akan saya sia-siakan, kerana ketika ramai penyanyi muda yang bagus di luar tetapi pasukan pengurusan Foster tetap memanggil saya,” katanya.
Siti ditemui pada majlis sidang media Konsert David Foster & Friends di Kuala Lumpur.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali. Konsert berkenaan dianjurkan Yayasan Prihatin Nasional.
Ditanya pandangannya mengenai Foster, Siti berkata, dia mula meminati Foster ketika diperkenalkan oleh komposer, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan pada awal pembabitannya dalam industri muzik pada usia 16 tahun.
Katanya, dari situ juga dia mula meminati Foster dan juga penyanyi terkenal, Celine Dion.
“Saya merakamkan lagu popular Celine, The Colour Of My Love dalam album kedua kerana itu lagu ciptaan Foster yang paling diminati,” katanya.
Dalam pada itu, Siti bakal menyampaikan sebuah lagu ciptaan Foster dan sebuah lagu popularnya yang masih dirahsiakan lagi.
“Berkongsi pentas dengan Foster adalah impian setiap artis. Saya juga berasa diri ini sangat kecil apabila tengok senarai artis hebat yang terbabit dalam konsert ini.
“Saya sedar diri belum dikenali di peringkat antarabangsa dan hanya dikenali di Asia. Namun, saya percaya belum terlambat untuk dikenali di pentas antarabangsa pada usia 44 tahun,” katanya.
Sementara itu Mohd Aizuddin berkata, penganjuran konsert tersebut bakal memberi manfaat buat anak-anak Malaysia Madani di Menara Gading yang kurang berkemampuan dari golongan asnaf untuk mengurangkan beban kos sara hidup di kampus.
“PRIHATIN amat proaktif dalam menjalankan program-program bersifat kebajikan terutama dalam memperkasakan pendidikan negara ke aras yang lebih tinggi di persada dunia.
“Saya teruja kerana diberi peluang untuk menganjurkan konsert ini yang bukan hanya bersifat komersial semata-mata tetapi turut menekankan konsep ‘Berhibur Sambil Beramal’ dan bersyukur dengan penglibatan semua artis yang bersetuju untuk sama-sama mencari dana melalui jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan untuk tujuan kebajikan.
“PRIHATIN turut berterima kasih kepada pihak korporat dan orang perseorangan yang membeli tiket korporat sekaligus memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan,” katanya.
Tiket telah pun mula dijual bermula dengan harga RM288, RM688, RM788 dan RM988 secara online di laman sesawang di www.myticket.asia – BOOM!