Agak lama menyepi, penyanyi yang juga anak kepada penyanyi legenda, Allahyarham Saleem iaitu Syafiq Farhain dikhabarkan bakal bergelar bapa.
Dia mengesahkan isteri yang juga pengurusnya, Alia Nadia, 29, yang dinikahinya pada 10 Oktober tahun lalu kini sedang hamil lima bulan.
Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain AM Salim, 29, mengakui berdebar-debar menanti kelahiran anak sulung yang dijangka pada hujung Mei atau awal Jun ini.
“Ya, isteri saya hamil lima bulan. Saya berharap sesiapa yang baca berita ini sama-sama doakan semoga anak kami dan juga isteri saya sihat serta selamat.
“Insya-Allah, isteri saya akan melahirkan anak kami sekitar Mei atau Jun depan. Jujurnya, macam-macam saya fikir apa nak buat nanti.
“Kalau tanya saya sudah bersedia atau belum, nak tak nak kena juga bersedia. Tapi saya bersyukur kerana setakat ini semuanya lancar, tiada masalah alahan atau sebagainya,” ujar Syafiq.
Dalam perkembangan lain, Syafiq berbesar hati apabila dapat melibatkan diri dalam Jelajah Amal Solidariti Untuk Iskandar Spring yang akan diadakan di Santai Seni @ TAR pada Ahad ini.
Persembahan percuma tersebut akan bermula dari jam 2.30 hingga 6.30 petang.
“Ahad ini saya akan nyanyikan empat buah lagu daripada kumpulan Iklim,” ujarnya.
Terdahulu, acara amal itu bertujuan mengutip dana bagi membantu meringankan beban pemain gitar kumpulan terkenal 90-an itu yang kini sukar berjalan akibat penyakit gout.
Iskandar atau Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail, 53, juga dikatakan mengalami pelbagai penyakit kronik seperti strok, diabetes dan buah pinggang. – BOOM!