Selepas kembali aktif dalam radar industri seni, bintang Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), Ashira Aziz berharap ada sinar dalam kerjayanya.
Tampil manis selepas berhijab, dia berharap dapat bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sudi menerbitkan single baharu buat dirinya.
“Saya tidak kisah asalkan kita boleh bekerjasama dan saya bersedia. Kita boleh adakan perbincangan.
“Pada masa sama, saya juga sedia menerima apa jua undangan nyanyian atau penampilan bagi sebarang acara demi mencari rezeki,” katanya kepada BOOM!
Pemilik nama sebenar Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 36, itu berkata demikian ketika ditemui usai tamat konsert mingguan GV8 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.
Ashira hadir bersama suami tercinta iaitu Bad Indigo yang kini berkerusi roda sementelah jarinya dipotong akibat penyakit diabetes yang dihidapi.
Popular dengan lagu Di Ombak Resah, Ashira juga tidak menolak andai ada tawaran yang mahu menggandingkan dirinya dengan suami menghasilkan lagu duet.
“Malah jika diberi peluang untuk berlakon pun saya sanggup mencubanya walaupun tidak berpengalaman,” tambahnya.
Bagi wanita berkenaa, dia sekadar berusaha membantu suaminya semata-mata untuk mencari sumber pendapatan.
Sementara itu, penyanyi yang memulakan kariernya sekitar 90-an itu akui semakin selesa dan tenang dengan imej bertudung dibawanya.
“Alhamdulillah, saya semakin serasi dan doakan agar terus menjadi lebih baik dari hari ke hari,” ujar Ashira memberi ulasan ringkas.
Antara single yang pernah dihasilkan Ashira ialah Jatuh Cinta, Selamanya Takkan Berakhir dan Buat Insan Tersayang (duet bersama Eddie Hamid). – BOOM!