Penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Acha Septriasa, meluahkan rasa terima kasih dan memuji penyanyi muda Mahalini yang berjaya merakamkan semula lagu ikonik ‘Sampai Menutup Mata’.
Menurut Acha, yang merupakan penyanyi asal lagu tersebut, versi Mahalini membawa lagu itu ke tahap baru, membuatkan dirinya merinding ketika mendengarnya.
“Mahalini, terima kasih kerana menyanyikan lagu ini. Saya dapat mendengar kembali ‘Sampai Menutup Mata’ setelah sekian lama. Banyak kenangan yang muncul kerana lagu ini adalah sebahagian besar dari awal karier saya sebagai penyanyi untuk runut filem,” kata Acha menerusi komen di muzik video versi Mahalini di YouTube.
Acha turut memuji cara Mahalini mengekalkan keaslian lagu sambil memberikan sentuhan lebih kuat dan berbeza.
“Bahagian-bahagian tertentu benar-benar buat saya meremang. Awak buatnya lebih powerful,” tambah Acha.
Selain itu, Acha turut menyatakan kekagumannya terhadap bakat Mahalini sejak penyanyi berusia 24 tahun itu mula muncul dalam industri muzik.
“Sejak nama awak wujud dalam industri, awak salah seorang jaguh saya. Awak pemilik sebenar ‘Sampai Menutup Mata’. I love you, Mahalini,” katanya.
Sebagai info, lagu “Sampai Menutup Mata” merupakan ciptaan komposer terkenal Melly Goeslow dan sudah berusia 18 tahun, menjadi runut bunyi untuk filem popular My Heart. – BOOM!