Pelakon Abby Abadi menafikan tuduhan segelintir pihak yang mendakwa dia sengaja memutar belitkan cerita berhubung kematian cucu sulungnya baru-baru ini.
Dalam satu hantaran di Instagram Story, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan menjelaskan bahawa dia sama sekali tidak mengetahui tentang kematian cucunya dan hanya dimaklumkan selepas semuanya selesai.
“Pasal Marissa kematian anak itu, saya memang tak tahu… lambat dapat tahu. Demi Allah saya tak tahu. Ada yang kata saya pusing cerita, tahu tapi buat tak tahu. Aduhai, apa yang saya nak pusing? Saya memang tak tahu,” tulis Abby dengan tegas.
Pelakon berusia 46 tahun itu turut menegaskan bahawa dia tidak pernah menggunakan hal peribadi sebagai konten demi meraih perhatian.
“Saya dapat tahu selepas semuanya selesai. Kenapa susah nak terima kenyataan saya? Semua nak kata saya buat cerita, buat konten… ingat orang tak ada kerja ke?” katanya lagi.
Terdahulu, menerusi temu bual bersama media, Abby dan anaknya Marissa Dania menjelaskan mengenai dakwaan menyembunyikan berita kematian bayi tersebut.
Sebagai info, bayi sulung Marissa dan suaminya, Aslam, meninggal dunia ketika dilahirkan pramatang. Marissa ketika itu sedang hamil enam bulan dan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sakit perut.
Aslam kemudian mengesahkan berita kematian anak sulung mereka dan meminta orang ramai supaya tidak mencetuskan spekulasi mengenai perkara tersebut.
Namun, Abby menjelaskan bahawa dia tidak tahu tentang kelahiran Marissa sehinggalah semua urusan selesai. – BOOM